Hari ini, Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan sidang akhbar harian musim haji 1445H melalui jurucakap keselamatan Kementerian Dalam Negeri, dengan penyertaan jurucakap rasmi Kementerian Haji dan Umrah, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan dan Logistik. Jurucakap keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Kolonel Talal bin Abdul Mohsen bin Shalhoub mengumumkan bahawa fasa pertama rancangan keselamatan Haji telah selesai dengan jayanya, dengan semua jemaah haji berjaya wukuf di Arafah dan pergerakan jemaah haji dari Makkah ke Mashair dalam tempoh 24 jam yang lalu telah berlangsung dengan aman, selamat dan tenang. Mereka akan menunaikan Hari Tarwiyah dan mabit di Mina sebelum meneruskan perjalanan ke Arafah pagi ini menurut rancangan lalu lintas yang fleksibel dan cekap dalam melaksanakan operasi mengangkut jemaah dengan bas dan kereta api Mashair. Beliau menyatakan bahawa tahap kedua perjalanan Mashair sedang dilaksanakan untuk mengangkut jemaah haji dari Arafah ke Muzdalifah untuk bermalam di sana sebelum meneruskan perjalanan mereka dengan kembali ke Mina untuk tinggal di sana pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq, di mana jemaah akan melaksanakan Tawaf Ifadah dan melontar Jamarat mengikut rancangan dan jadual mereka. Al-Shalhoub memuji usaha anggota keselamatan dalam melaksanakan fasa kedua pergerakan jemaah haji di Mashair dengan mengurus dan mengatur pergerakan kenderaan di jalan-jalan menuju ke Arafah, Muzdalifah dan Mina, membuat susulan dan membantu jemaah pejalan kaki yang berjalan di laluan ditetapkan untuk mereka, membantu organisasi pengangkutan dalam perjalanan ulang-alik, mengatur jemaah di stesen kereta api Mashair di Arafah, Muzdalifah dan Mina, mengurus dan mengatur pergerakan pejalan kaki di jalan-jalan menuju dari Muzdalifah ke Mina dan jalan-jalan yang menghubungkan Mina dengan Masjidil Haram dan Jamarat serta mengurus dan mengatur jemaah di Masjidil Haram untuk melakukan tawaf Ifadah,dan di Jamarat untuk melontar. Beliau menyeru para tetamu Allah untuk terus mematuhi peraturan dan arahan, dan mematuhi waktu, laluan dan arahan yang ditetapkan untuk mereka semasa bergerak untuk melakukan Tawaf Ifadah dan melontar Jamrah Aqabah selepas kembali ke Mina dari Muzdalifah. Ia termasuk mengikuti dan mematuhi arahan anggota keselamatan di jalan menuju ke Mina, di Masjidil Haram, di datarannya, ke Jamarat, di Mataf, di Masaa dan sekitar lubang Jamarat serta mengambil kira perkara ini semasa pergi dan pulang ke penempatan mereka. Jurucakap keselamatan menyatakan bahawa 25 pelanggar peraturan dan arahan haji telah ditangkap pada malam 9 Zulhijjah kerana membawa 103 jemaah yang tidak mempunyai permit haji dan hukuman telah dikenakan terhadap mereka. Manakala Pusat Operasi Keselamatan Bersatu 911 di wilayah Makkah Al-Mukarramah telah menerima 52,274 panggilan dari jam 3 petang pada hari 8 Zulhijhah sehingga jam 3 petang hari ini merangkumi laporan keselamatan, pertanyaan perkhidmatan dan pertanyaan umum dan semuanya telah ditangani sepenuhnya. Bagi pihak Wakil Kementerian Haji dan Umrah untuk Hal Ehwal Haji, Dr. Ayed bin Muhammad Al-Ghuwaynem, beliau mengesahkan kejayaan aktiviti pengangkutan jemaah haji ke Arafah dengan penuh lancar, mudah dan tenang. Beliau menerangkan bahawa pergerakan jemaah telah selesai tepat pukul 10.30 pagi alhamdulillah di mana semua pergerakan telah memenuhi tuntutan fiqh. Beliau mengulas bahawa sehingga saat ini, aliran jemaah haji dari Arafah ke Muzdalifah berterusan mengikut rancangan pergerakan yang dipersetujui semua agar jemaah haji dapat meluangkan waktu malam di Masharil Haram sebagai persiapan untuk kembali ke Mina untuk menunaikan hari Haji Akbar sambil bertalbiah dan bertakbir dan dilayani oleh petugas pelbagai pihak yang berkelayakan demi keselesaan jemaah, mengikut arahan kerajaan untuk menyediakan segala yang diperlukan untuk berkhidmat kepada jemaah dan memastikan kepuasan mereka. Dr Muhammad Al-Ghuwaynem menegaskan kesungguhan Kementerian untuk memastikan kehadiran pasukan lapangan bagi memastikan operasi menaiki kenderaan berjalan dengan tepat mengikut jadual yang dipersetujui, diketuai oleh 4,000 pemerhati lapangan. Beliau menjelaskan bahawa kepentingan kad Nusuk muncul semasa operasi pergerakan, di mana operasi bimbingan dan bantuan berlaku dengan kecekapan tinggi di mana bilangan imbasan kod QR meningkat menghampiri 5 juta sehingga beberapa saat sebelum sidang akhbar ini. Bagi pihak jurucakap rasmi Kementerian Kesihatan, Dr Muhammad Al-Abd Al-Aali, beliau menyatakan bahawa jemaah haji telah menyempurnakan kerja Hari Arafah di tengah-tengah kejayaan pelaksanaan rancangan sistem kesihatan untuk hari yang diberkati ini. Di mana perkhidmatan kesihatan telah diberikan kepada lebih 112,081 jemaah di bahagian kecemasan, pesakit dalam dan pesakit luar sepanjang musim haji tahun ini. 20 jemaah telah menjalani pembedahan jantung terbuka dan pasukan perubatan telah melakukan 230 kateterisasi jantung dan 819 operasi dialisis. Hospital maya juga terus memberi perkhidmatannya di mana kira-kira 5,114 perkhidmatan telah diberi kepada tetamu Allah dan konsultasi perubatan serta-merta disediakan sepanjang masa dalam beberapa bahasa. Beliau menyatakan bahawa cabaran terbesar dalam haji tahun ini adalah suhu yang tinggi. Bilangan jemaah yang terdedah kepada hipertemia dan strok haba hari ini telah mencecah kira-kira 569 kes setakat ini, menunjukkan bahawa jumlah ini perlu dipantau, disusuli dan campur tangan pantas harus dibuat untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi mereka daripada bahaya. Dan perkara paling penting di sini adalah untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikuti nasihat perubatan untuk tidak berada lama di bawah cahaya matahari, minum air dalam kuantiti yang mencukupi, rehat dari semasa ke semasa, dan sudah tentu, gunakan payung untuk melindungi daripada cahaya matahari Beliau menasihatkan jemaah haji pada baki hari-hari haji ini supaya berhati-hati dengan kebersihan am, kebersihan dan keselamatan makanan dan tidak memakan makanan yang telah lama terdedah kepada suhu yang tinggi dan berbeza-beza. Ini boleh menyebabkan masalah penghadaman, usus atau jangkitan. Beliau memberi amaran kepada jemaah haji tentang kepentingan mengambil kira keadaan kesihatan diri, mengambil rawatan yang diperlukan, berunding dengan doktor sekiranya berlaku penyakit kronik dan mengelakkan tekanan fizikal dan berjalan secara berterusan tanpa berehat. Beliau menyeru jemaah haji untuk menghubungi pusat panggilan 937 sepanjang masa untuk meminta khidmat kesihatan, pertanyaan, atau permohonan untuk mendapatkan rawatan atau nasihat perubatan di mana sekumpulan pakar dan pengamal kesihatan yang paling mahir di kalangan doktor lelaki dan wanita bersedia memberi konsultasi segera. Konsultasi dan pertanyaan juga boleh diterima melalui aplikasi Sehhaty dan hospital maya Bagi pihak jurucakap rasmi sistem pengangkutan dan logistik, Saleh bin Ibrahim Al-Zuwaid, beliau menyentuh tentang integrasi dalam jumlah usaha yang dilakukan oleh semua agensi kerajaan memandangkan usaha berterusan sistem pengangkutan dan logistik berkhidmat kepada tetamu Allah dengan memudahkan pengangkutan mereka melalui kereta api Mashair dengan kecekapan yang tinggi. Beliau melaporkan bahawa jemaah haji telah dibawa pada waktu subuh hari ini dari Mina ke Arafat dengan mudah dan senang di mana lebih daripada 300,000 jemaah telah dibawa dengan kadar ketepatan masa perjalanan mencapai 106%. Perjalanan Kereta api Mashair telah bermula 45 minit sebelum pergerakan keluar dari Arafah ke Muzdalifah dan berterusan sehingga jam 2:30 pagi. Dan dengan berakhirnya pergerakan ini, pergerakan kereta api Mashair akan terus bermula untuk membawa jemaah dari Muzdalifah ke Mina untuk ibadah melontar Jamrah Aqabah dan berterusan hingga ke pagi esok, pagi hari raya Aidil Adha yang diberkati. Beliau mengulas bahawa terdapat lebih 7,500 petugas di Kereta Api Mashair, berkomunikasi dengan lebih daripada 7 bahasa untuk melayani tetamu Allah. Beliau menerangkan bahawa hasil pematuhan yang tinggi daripada syarikat pengangkutan berlesen sama ada bas, lori atau teksi telah menyumbang kepada pelaksanaan lebih daripada 160,000 pemeriksaan kenderaan demi memastikan kesahihan dan kualitinya dengan menggunakan cermin mata maya untuk proses pengimbasan yang menyumbang kepada memendekkan proses pemeriksaan sebanyak 600% di mana bas berjaya diimbas hanya dalam masa 6 saat. Beliau menjelaskan bahawa 25 penunjuk telah diukur menggunakan dron untuk mengukur aliran pergerakan bas memasuki Mashair menggunakan kamera dan sensor berdasarkan teknologi kecerdasan buatan demi mendapat manfaat daripada keputusan ini pada tahun-tahun akan datang. Beliau menyatakan bahawa jemaah haji telah mendapat manfaat daripada jalan fleksibel di Arafah dan teknologi turapan getah yang menyumbang kepada pengurangan tekanan, selain teknologi penyejukan jalan yang diletakkan di kawasan sekitar Masjid Arafah yang mana menyumbang kepada pengurangan suhu permukaan jalan lebih daripada 20%. Ini selain memperuntukkan sejumlah 3,000 skuter untuk warga emas dan jemaah kurang upaya di laluan yang ditetapkan, merentasi 3 laluan utama. Beliau menyatakan alhamdulillah para tetamu Allah telah berjaya dibawa di kawasan Mashair dengan mudah, alhamdulillah mengikut rancangan yang telah disusun untuk mengangkut tetamu-tetamu Allah dengan integrasi dan perkongsian dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan.
Kongsi berita
Kategori
Umum
