Yang Berhormat Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, mengumumkan kejayaan pelan perjalanan jemaah dari Makkah dan Mina ke Arafah, dengan bantuan Kereta Api Mashair, lebih 20,000 bas dan penyertaan 100,000 sistem pergerakan (termasuk 60,000 pemandu dan pembantu lapangan). Beliau menjelaskan bahawa pergerakan jemaah dari Mina telah selesai dalam masa yang singkat iaitu pada tepat jam 10:30 pagi tadi. Ini diumumkan semasa sidang media yang diadakan oleh Yang Berhormat hari ini di khemah Kementerian di Arafah. Beliau menegaskan bahawa Kementerian Haji dan Umrah serta semua rakan kongsinya, melalui pasukan lapangan, membuat susulan sepanjang masa terhadap semua perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji dan menilai tahap perkhidmatan yang disediakan bagi memastikan jemaah menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik, di samping mengambil perhatian terhadap matlamat utama untuk mencapai tahap kepuasan dan keselesaan tertinggi buat jemaah haji. Jelas Yang Berhormat, jumlah jemaah haji pada musim haji tahun 1445H ini mencecah 1,833,164 jemaah, yang datang dari lebih 200 negara, termasuk 221,854 ribu jemaah dari dalam Arab Saudi. Peratusan jemaah lelaki di mencapai 52%, manakala peratusan wanita mencapai 48%. Beliau menyatakan bahawa semua jemaah telah berjaya Alhamdulillah, berwukuf di Arafah dan akan berangkat dengan izin Allah ke Muzdalifah, mengikut jadual dan rancangan pergerakan yang telah disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah. Pada kesempatan ini, Yang Berhormat merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, dan kepada Yang Amat Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz, Putera Mahkota dan Perdana Menteri atas perhatian dan kesungguhan mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan paling berkualiti kepada para tetamu Allah. Al-Rabiah juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif, Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Yang Mulia Putera Khaled Al-Faisal, Penasihat Penjaga Dua Masjid Suci, Gabenor Wilayah Makkah Al-Mukarramah dan Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat, Yang Mulia Putera Salman bin Sultan, Gabenor Wilayah Madinah Al-Munawwarah dan Pengerusi Jawatankuasa Haji dan Ziarah, serta Yang Berhormat timbalan-timbalan mereka dan petugas-petugas sektor perkhidmatan tetamu Allah daripada semua sektor awam dan ketenteraan yang bekerjasama untuk menjayakan musim haji tahun ini dan memastikan keselesaan tetamu Allah untuk merealisasikan visi kerajaan Arab Saudi . Al-Rabiah memuji usaha keras dan persiapan awal semua pihak yang bertugas dalam sektor perkhidmatan jemaah haji, terutamanya kempen "Tiada Haji tanpa Permit" yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri, yang telah membantu mencapai tahap kejayaan ini dan hasilnya yang jelas dalam mengurangkan bilangan jemaah haji tanpa permit. Beliau juga memuji usaha cemerlang pada musim haji ini iaitu pelancaran Kad Nusuk, yang mana lebih daripada dua juta salinan telah diedarkan kepada jemaah haji dan para petugas. Kad Nusuk menawarkan pelbagai fungsi, antaranya: mengetahui semua maklumat berkaitan jemaah, tempat tinggal jemaah, butiran khemah dan syarikat haji serta nombor telefon syarikat. Kad Nusuk memainkan peranan penting dan menonjol dalam musim haji tahun ini dengan cara menyediakan perkhidmatan dengan pantas dan berkesan, mengembangkan perkhidmatan bimbingan dan membezakan jemaah haji yang sah. Dinyatakan juga bahawa proses penghasilan kad dan sistem perkhidmatan berkaitan dengannya, mengemas kini data dan memastikan kesahihannya dilakukan secara teratur dan sepanjang masa, dikendailkan oleh pasukan teknikal pakar Kementerian Haji dan Umrah. Di akhir ucapannya, Yang Berhormat menyatakan bahawa semua usaha sejak permulaan musim haji telah disertai oleh sistem bersepadu agensi kerajaan, swasta dan bukan untung, di samping pematuhan dan kerjasama pejabat-pejabat hal ehwal haji negara-negara Islam, di mana mereka telah mematuhi semua arahan dan prosedur. Semoga Allah SWT menerima ibadah haji para jemaah, mengampuni dosa-dosa mereka dan memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada negara ini dan negara-negara Islam.
Kongsi berita
Kategori
Umum
Tarikh penerbitan
15 Jun 2024
