Kementerian Haji dan Umrah telah mengaktifkan kemudahan penggunaan aplikasi "Nusuk" dengan semua ciri dan fungsinya tanpa memerlukan data internet. Langkah ini direalisasikan melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi utama di Arab Saudi iaitu STC, Mobily dan Zain. Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan perjalanan Tetamu Allah serta memperkukuh pengalaman digital dalam perkhidmatan haji dan umrah. Jurucakap rasmi Kementerian Haji dan Umrah, Dr. Ghassan al-Nu‘aimi, menjelaskan bahawa langkah ini membolehkan pengguna kad sim dalam negara, sama ada warganegara, penduduk tetap atau pelawat, untuk mengakses aplikasi "Nusuk" dan menikmati semua perkhidmatannya tanpa memerlukan pelan data atau sambungan internet. Perkhidmatan yang boleh digunakan termasuklah pengeluaran permit, tempahan serta pelbagai perkhidmatan digital lain yang ditawarkan oleh aplikasi. Menurut beliau, hal ini menandakan satu lonjakan besar dalam usaha membolehkan jemaah dan pelawat menjalankan ibadah dengan lebih mudah dalam pergerakan antara perkhidmatan dengan lancar. Dr. Ghassan turut menegaskan bahawa pelaksanaan ini memberi kesan positif secara langsung kepada pengalaman pengguna, kerana mereka boleh mengakses perkhidmatan penting seperti pengeluaran permit masuk ke Raudhah al-Sharifah, tempahan tiket Kereta Api Haramain, navigasi melalui peta Nusuk, penggunaan ciri kecerdasan buatan “Nusuk AI”, serta kemudahan melaporkan aduan dan mengemukakan pertanyaan tanpa perlu menggunakan kuota data. Ketua Pegawai Eksekutif platform Nusuk, jurutera Ahmad al-Maiman, menambah bahawa kerjasama ini merupakan tambahan penting dalam meningkatkan pengalaman digital Tetamu Allah. Ia juga menyumbang kepada kelancaran perjalanan mereka sama ada untuk menunaikan haji, umrah atau menziarahi Raudhah al-Sharifah. Usaha ini membantu meningkatkan kecekapan pengurusan jemaah, memberi akses segera kepada maklumat dan perkhidmatan penting, mengurangkan jumlah jemaah yang sesat serta mempercepatkan proses pengesahan permit di pintu masuk ke Raudhah al-Sharifah. Inisiatif ini datang selaras dengan komitmen Kementerian Haji dan Umrah untuk memperkukuh transformasi digital dalam perkhidmatan haji dan umrah. Ia juga melibatkan penyediaan infrastruktur teknologi yang lengkap bagi memenuhi keperluan pelbagai pengguna dalam pelbagai keadaan, sekaligus memastikan akses mudah kepada perkhidmatan tanpa sebarang halangan teknikal atau kewangan.
Kongsi berita
Kategori
Umum
Tarikh penerbitan
06 Ogos 2025
